.:: Pengorbanan Ke Arah Kejayaan ::.

PADA tahun lepas ada di antara pelajar-pelajar berasa sangat gembira kerana gambar mereka tersiar di akhbar-akhbar kerana berjaya menempah kecemerlangan dalam peperiksaan STPM yang lalu. Bagaimana pula dengan pelajar-pelajar yang lain? Tidakkah merasa "cemburu" terhadap kejayaan rakan-rakan kita itu? Bayangkan betapa seronoknya perasaan mereka serta ibu bapa mereka apabila mendapat tahu bahawa anak-anak mereka telah mendapat kejayaan yang cemerlang dalam peperiksaan!

Sebenarnya anda juga boleh menjadi pelajar cemerlang sama seperti pelajar-pelajar yang terpapar di akhbar-akhbar. Kejayaan tidak mengenal siapa anda, lelaki atau perempuan, tinggi atau rendah, kaya atau miskin, agama atau bangsa. Potensi dan fitrah manusia yang diberikan oleh Tuhan adalah sama. Perbezaannya adalah lahir dari tindakan kita. Manakala tindakan kita pula dipengaruhi oleh beberapa faktor yang lain
seperti sikap dan perasaan.

Rata-rata pelajar-pelajar yang memperolehi kecemerlangan dalam peperiksaan mengatakan rahsia kejayaan mereka adalah terletak kepada usaha mereka yang gigih, tabah serta keazaman yang tinggi. Kejayaan tidak boleh datang secara spontan sahaja tanpa berusaha. Kejayaan merupakan hasil daripada proses pembelajaran.

Jika kita ambil contoh pembelajaran ini sebagai sebuah kilang, maka sebelum kilang itu dapat mengeluarkan sesuatu produk (hasil barangan) kilang itu terpaksa mendapat pelbagi bahan mentah sebagai bahan adunannya. Bahan-bahan mentah itu kadangkalanya senang diperolehi dan kadangkalanya pula sukar dan terpaksa mengimportnya dari luar negeri. Tetapi demi untuk mempastikan produknya berkualiti tinggi maka pengeluarnya akan berusaha mendapatkan bahan mentah tersebut walaupun terpaksa menanggung risiko yang tinggi.

Setelah memperolehi bahan mentah ianya akan diproses melalui beberapa pemeringkatan. Pihak pengeluar akan berusaha mempastikan sistem pemerosesannya beroperasi dengan baik demi untuk menjamin hasilan barangannya kerana bahan mentah yang diperolehi itu mahal. Hasilnya sudah tentulah barangan tersebut akan mendapat pasaran yang baik oleh para pembeli.

Sekiranya kita ibaratkan pelajar itu sebagai pengeluar barangan maka sudah tentulah pada peringkat permulaannya ia akan berusaha mencari pelbagai sumber ilmu sepertimana yang dilakukan oleh pengeluar kilang yang cuba mencari bahan mentahnya. Ilmu tidak akan datang menggolek tetapi kita harus mencarinya dan dalam proses pencarian kita perlulah sanggup menempuhi pelbagai cabaran dan tekanan sama ada dari aspek mental, rohani dan jasmani.
Ilmu yang diperolehi tidak akan memberi makna apa-apa kepada kita sekiranya ilmu itu tidak dihayati dan dimenafaatkan sebaik mungkin. Dalam hal ini pengusaha kilang cuba mempastikan bahan mentahnya di proses dengan baik ke arah penghasilan barangan yang bermutu, maka seorang pelajar juga harus mempastikan ilmu yang didapati itu perlu diproses dalam ertikata ilmu itu patut dihayati, dianalisis dan disebatikan dalam kehidupan pelajar-pelajar .

Mutu kawalan yang tinggi dalam pemprosesan akan menghasilkan barangan yang bermutu. Begitu juga dengan pelajar yang dapat menghayati pelajarannya dengan sistematik akan menjamin kecemerlangan dalam bidang akademiknya.

Sehubungan dengan perkara ini Bob Budler (1992) dalam bukunya bertajuk "You Can Do It !" telah menyunting beberapa pendapat dan padangan pakar-pakar motivasi. Salah satu kata-kata yang menarik perhatian saya yang terdapat dalam buku ini ialah berbunyi "You Have to Pay the Price".
Ini bermakna kejayaan itu tiada ternilai harganya. Oleh itu keseluruhan kata-kata di atas bermaksud seseorang itu perlulah bersedia mengorbankan tenaga, berdedikasi dan berusaha dengan gigih sebagai bayaran ke arah menempah kejayaan iaitu ganjaran yang yang ingin dicapainya. Dalam erti kata yang lain tiada kejayaan tanpa usaha dan usaha adalah menjadi tanggungjawab bagi setiap diri pelajar-pelajar. Tiada siapa yang dapat membantu kita selagi diri kita tidak mahu bergerak untuk membantu diri sendiri.

Sekarang cubalah renung dan lihat diri sendiri. Kemukakanlah soalan ini kepada diri sendiri. "Sudahkah saya bersedia berkorban dalam proses pembelajaran saya?" Jika sudah apakah tindakan saya seterusnya? Jika belum apakah perancangan yang harus saya lakukan? Semoga dengan persoalan ini dapat menyedarkan kita di manakah kedudukan kita sebenarnya serta mengatur langkah untuk membuat persediaan sebelum terlambat.
Bersedialah untuk berkorban demi untuk kecemerlangan masa hadapan. Usaha itu tangga kejayaan!

Semoga pada keputusan peperiksaan tahun hadapan wajah anda yang tersenyum lebar akan terpapar di akhbar-akhbar. InsyaAllah...

Comments :

0 Komen to “.:: Pengorbanan Ke Arah Kejayaan ::.”