.:: Pendidik atau Penternak ? ::.

Assalamualaikum...Dah lama rasanya saya tidak mengemaskini blog kesayangan nie...Hari nie rasa terdetik pula untuk menulis satu artikel berkaitan isu yang saya rasakan penting sebagai renungan kita bersama.

Musim cuti persekolahan sebegini kita sering menerima jemputan ke majlis2 perkahwinan, tidak kira sama ada dari jauh atau dari kejiranan kita sendiri. Apa yang ingin dikongsikan di sini adalah sejauh mana persediaan pasangan menghadapi alam rumah tangga terutamanya setelah bergelar ibu dan ayah. Kalau kita perhatikan di sekeliling kita, tentu kita menyedari bahawa masih banyak lagi simptom2 kemusnahan akhlak remaja yang
amat membimbangkan. Apa tidaknya, cara pemakaian anak2 remaja hari ini jauh berbeza jika dibandingkan dengan anak2 remaja 10 tahun sebelum ini. Bagi remaja lelaki, sudah ada yang berani bersubang, pakaian pula ada yang koyak rabak dek penangan arus perkembangan fesyen katanya, tidak kurang juga yang lengkap dengan aksesori seperti rantai dan sebagainya. Remaja perempuan juga tidak kurang hebatnya, menampakkan susuk tubuh sudah menjadi kebiasaan, tudang pula entah ke mana.

Siapa sebenarnya yang harus dipertanggungjawabkan dalam soal keruntuhan kerukunan akhlak remaja ini. Semestinya masyarakat akan menuding jari menyalahkan ibu bapa terlebih dahulu bilamana berlaku perkara yang tidak dingini. Sebenarnya, setiap anak yang dilahirkan itu bersih fitrahnya. Adalah menjadi tugas ibubapa untuk mencorakkan kehidupan anak-anak seterusnya sama ada untuk menjadikannya baik atau sebaliknya. Sabda Baginda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: "Semua anak yang dilahirkan ke dunia ini dalam keadaan fitrah (yang suci bersih). Maka kesalahan ibubapalah menjadikan mereka yahudi, nasrani atau majusi".

Hadis di atas jelas menggambarkan kepada kita betapa besarnya peranan dan tanggungjawab ibu bapa terhadap anak2. Kesalahan dalam mendidik anak2 menjadi nadi terhadap pelbagai gejala sosial yang berlaku hari ini, di samping faktor luaran yang lain. Demi mengejar tuntutan kesenangan dunia, ibu bapa hari ini meletakkan 100% usaha mendidik anak2 di bahu para guru. Ibu bapa hanya sekadar menyediakan tempat tinggal, makanan dan pakaian. Pendidikan dan asuhan khususnya yang berkait rapat dengan aspek rohani atau keagamaan langsung diketepikan, kalau adapun adalah sedikit cuma.

Aspek kerohanian, akhlak, nilai2 dan norma2 murni kehidupan sepatutnya menjadi tunjang dalam diri ibu bapa dan anak2 dalam mengharungi dunia yang penuh dengan cabaran ini. Jika ibu bapa hari ini terus mengabaikan tanggungjawab utama mereka, maka tiada bezanya mereka dengan seorang penternak ayam, lembu atau kambing. Mereka hanya perlu sediakan sebuah reban atau bangsal serta keperluan makanan harian, tanpa perlu mendidik dengan didikan agama yang murni. Ironinya, biarpun pelbagai masalah yang berpunca dari remaja, ibu bapa masih tidak sedarkan diri. Tetap menyalahkan institusi pendidikan sebagai gagal menjalankan tanggungjawab dengan baik.

Saya teringat dengan pesanan seorang ustazah semasa di bangku sekolah dahulu. ‘Jika kamu berkahwin kelak, jadilah seorang pendidik dan bukannya seorang penternak’. Pesanan keramat ini masih segar diingatan kerana ianya mengandungi maksud yang mendalam bagi saya. Sampai hari ini saya tetap merasakan bahawa ibu bapa sepatutnya sama2 merenung kalimah keramat ini. Sama ada kita sedar ataupun tidak, terdapat kejiranan atau ahli masyarakat di sekeliling kita sedang menuju ke arah menjadi penternak manusia, bukannya pemanusiawi manusia. Sama2lah kita renungkan...Wallahu a’lam...


Comments :

0 Komen to “.:: Pendidik atau Penternak ? ::.”