.:: Aktiviti Harian - al-Ghazali ::.

Assalamualaikum wrt...insyaAllah dalam artikel kali ini saya akan kongsikan beberapa pesanan Imam al-Ghazali Hujjatul Islam berkaitan aktiviti harian kita. Pesanan ini dipetik daripada salah sebuah kitab beliau, iaitu Bidayatul Hidayah (Permulaan Jalan Hidayah). Melalui buku ini imam al-Ghazali menerangkan apakah aktiviti2 harian yang sewajarnya dilakukan oleh seseorang muslim pada siang dan malam hari sepanjang hidupnya. Mengikut imam al-Ghazali, inilah satu panduan hidup harian yang lengkap yang patut diamalkan oleh setiap orang Islam. Berikut petikan mengenai nasihat imam al-Ghazali mengenai aktiviti yang sepatutnya dilakukan di waktu pagi, selepas solat sunat dhuha, hingga menjelang waktu gelincir matahari, iaitu masuknya waktu untuk
solat fardhu zuhur:

Terdapat 4 perkara yang boleh dilakukan, kata imam al-Ghazali:

PERTAMA: yang lebih afdhal, bahawa engkau habiskan waktumu itu dengan mencari ilmu yang bermanfaat, bukan ilmu yang sia2 yang sangat di minati orang sekarang ini, yang mereka namakan ilmu bermanfaat (padahal ia bukan ilmu yang bermanfaat). Ilmu yang bermanfaat adalah ilmu yang menambah takut dirimu kepada Allah S.W.T, dan menambah penglihatanmu terhadap 'aib dirimu, dan menambah ma'irfatmu dalam engkau beribadat kepada Tuhan, dan menyedikitkan kegemaranmu terhadap negeri dunia, dan menambah kegemaranmu terhadap negeri akhirat, dan membuka pintu hatimu untuk mengenali bermacam2 penyakit amalanmu sehingga engkau dapat menjauhinya.

Dan ilmu yang bermanfaat itu ialah ilmu yang menambah pengetahuanmu terhadap tipu helah syaitan dan penipuannya, sehingga engkau 'arif dengan kehalusan penipuan syaitan ketika ia menggoda ulama su' dan berjaya menjadikan mereka sebagai sasaran kemurkaan Allah S.W.T, kerana mereka telah membeli dunia dengan agama, dan menjadikan ilmu sebagai alat untuk mengambil harta sultan, memakan harta wakaf, harta anak yatim, harta orang miskin, dan harta orang Islam. Di sepanjang hari mereka hanya menghabiskan masa untuk mencari pangkat dan kedudukan di hati manusia. Untuk itu, mereka sanggup menunjukkan segala kebolehan di hadapan orang ramai dan memperlihatkan kefasihan lidah mereka dalam berbahas dan berbincang.

Apabila engkau telah cuba mengamalkan wirid2 dan ibadah (yang telah kami sebutkan) dan engkau dapati akan dirimu tidak merasakan sebarang keberatan dan tidak merasa malas melaksanakannya, bahkan nampak pada dirimu minat yang sangat mendorong engkau untuk mencari lagi ilmu yang bermanfaat, dan engkau tidak menghendaki dengan mencari ilmu itu kecuali hanya keredhaan Allah S.W.T dan negeri akhirat, maka menuntut ilmu pada ketika itu lebih afdhal daripada ibadat2 sunat. Dan yang paling penting hendaklah engkau memastikan keikhlasan niatmu (kerana niatlah yang menentukan nilai amalanmu). Apabila niatmu tidak ikhlas, maka di sinilah tempat perpedayanya orang2 yang jahil dan di sini pula tempat tergelincirnya kaki orang2 yang cerdik pandai.

KEDUA: Bahawa engkau tidak berkuasa menghasilkan ilmu yang bermnafaat tetapi engkau kuasa berbuat ibadat seperti berzikir, membaca al-Quran, bertasbih dan sembahyang. Maka ini adalah darjat orang yang 'abid dan cara hidup orang yang soleh. Dengan cara ini juga engkau dapat tergolong di dalam kumpulan orang yang beruntung.

KETIGA: Bahawa engkau membuat sebarang pekerjaan yang dapat memberi kebaikan kepada orang2 Islam dan dapat menggembirakan hati orang2 yang beriman, atau engkau menolong orang yang soleh di dalam pekerjaan mereka seperti berkhidmat kepada ulama dan ahli sufi dan ahli2 agama dan berulang-alik dalam menunaikan hajat mereka, atau berusaha untuk memberi makanan kepada fakir miskin, atau menziarahi orang sakit, atau menghantar jenazah, maka semua ini adalah lebih afdhal daripada semata2 ibadat sunat sahaja, kerana amalan yang seperti ini selain sebagai satu ibadat ia juga merupakan pertolongan kepada orang lain.

KEEMPAT: Jikalau engkau tidak dapat membuat salah satu daripada tiga perkara yang tersebut tadi, maka berusahalah untuk menunaikan hajatmu sendiri dan mencari nafkah bagi dirimu dan keluargamu, sedangkan orang ramai selamat daripada sebarang gangguanmu, dan mereka juga selamat daripada bahaya lidah dan tanganmu. Dan agamamu pula selamat, iaitu apabila engkau tidak terlibat dengan sebarang kemaksiatan. Maka dengan itu, engkau akan dapat mencapai darjat Ash-Habul Yamin. sekiranya engkau tidak dapat mencapai darjat As-Sabiqin.

Sumber:
(Imam al-Ghazali, Bidayatul Hidayah, (Terj. Abu Ali al-Banjari an-Nadwi), 2008, ms.65-69)

Comments :

0 Komen to “.:: Aktiviti Harian - al-Ghazali ::.”