.:: Galakan Membaca al-Quran ::.

Assalamualaikum Warahmatullah...................
Alhamdulillah, bersyukur ke hadrat Allah azzawajalla kerana dengan petunjuk dan hidayah-Nya, sekali lagi tergerak di hati kecil ini untuk menukilkan beberapa mafhum hadis berkenaan galakan Nabiyyil Mustofa Muhammad s.a.w dengan amalan membaca al-Quran. Berikut beberapa mafhum hadis yang sempat dinukilkan:

Dari Abu Umamah al-Bahili r.a, ia berkata, saya mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: "Bacalah al-Quran, kerana ia pada hari kiamat nanti akan datang untuk memberi syafa'at kepada para pembacanya". (Hadis sahih, riwayat Muslim)

Dari Abdullah bin Mas'ud r.a, ia berkata, Rasulullah s.a.w bersabda: "Barangsiapa yang membaca satu huruf dari al-Quran, maka ia akan memperoleh pahala satu amal kebajikan, dan satu pahala amal kebajikan dilipatgandakan sepuluh kali. Saya tidak mengatakan Alif-Lam-Mim itu satu huruf, tetapi Alif adalah
satu huruf, Lam adalah satu huruf, dan Mim juga satu huruf". (Hadis riwayat at-Tirmidzi dan al-Darimi, menurut at-Tirmidzi hadis ini hasan sahih)

Dari Aisyah r.a, ia berkata, Rasulullah s.a.w bersabda: "Orang yang membaca al-Quran dan ia pandai (hafal) dalam membacanya, ia akan bersama para Malaikat menjadi utusan mulia yang suci. Sedangkan orang yang membaca al-Quran, tetapi ia tergagap-gagap kesulitan, serta kesukaran dalam membacanya, ia akan memperoleh dua pahala". (Hadis sahih riwayat Bukhari, Muslim, at-Tirmidzi, Abu Daud dan al-Darimi)

Semoga kita sentiasa mendekatkan hati dan diri kita dengan al-Quran. Mudah-mudahan amalan dan ibadah kita pada hari ini akan dapat membantu dan menyelamatkan daripada azab api neraka yang tidak dapat digambarkan kesengsaraannya dek benak dan pemikiran kita yang amat terbatas ini. Semoga salah satu penyelamat kita yang turut menyumbang saham kebaikan untuk menuju syurga Allah azzawajalla iaitu dengan membaca al-Quran, lebih-lebih lagi di bulan Ramadhan yang barakah ini, insyaAllah.

Comments :

0 Komen to “.:: Galakan Membaca al-Quran ::.”