.:: Martabat Puasa ::.


Assalamualaikum Warahmatullah...

Alhamdulillah, setiap tahun Allah azzawajalla memberi kesempatan kepada hamba-hambaNYA agar melipat-gandakan amalan kebajikan. Allah azzawajalla mensyariatkan ibadah puasa di bulan Ramadhan al-Mubarak ini sebagai satu medium untuk hamba-hambaNYA yang tahu bersyukur dan menghargai peluang yang ada untuk menambah pahala kebaikan dengan amalan-amalan sunat dan sebagainya. 

Puasa sebagaimana diketahui umum dari sudut bahasa bermaksud menahan diri daripada sesuatu perkara. Manakala, dari sudut istilah syarak pula bermaksud menahan diri daripada perkara-perkara tertentu, oleh orang tertentu, pada waktu tertentu dengan beberapa syarat tertentu.

Maksud perkara tertentu adalah seperti makan, minum, melakukan hubungan sejenis (jimak) serta perkara membatalkan puasa yang lain. Manakala, orang tertentu pula adalah orang yang beragama Islam, telah cukup umur (baligh) dan berakal. Sementara pada waktu tertentu pula bererti
puasa sepanjang hari bermula dari terbit fajar sadiq sehingga terbenam matahari (masuk waktu maghrib).

Oleh itu, puasa boleh kita ertikan sebagai menahan diri daripada makan dan minum serta dari segala perkara yang boleh membatalkannya bermula dari terbit fajar sadiq sehingga terbenamnya matahari dengan disertai beberapa syarat dan niat di malam hari. Pensyariatan ibadah puasa ini sememang telah jelas dari segi syarak melalui firman Allah azzawajalla dalam surah al-Baqarah, ayat 183 yang bermaksud: “Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa”. 

Berpuasa hendaklah dengan peraturan dan tatacara yang telah diajar oleh Rasulullah SAW dan diterangkan oleh ulama supaya ibadat berkenaan membawa keredhaan, keberkatan dan pahala berganda. Justeru itu, untuk mencapai puasa yang berkualiti dan membentuk insan bertaqwa bukanlah perkara yang mudah, kita mesti menghadapi cabaran dan ujian yang hebat. 

Martabat Puasa
Menurut para Ulama’, puasa dapat dibahagikan kepada 3 martabat, iaitu:
Martabat Pertama: ialah Puasa Umum, iaitu puasa sekadar menahan diri dari tidak makan dan minum tanpa menjaga adab-adab berpuasa. 

Martabat Kedua: ialah puasa yang berusaha menghindari dosa iaitu menjaga segala pancaindera daripada melakukan dosa selain dari menahan diri dari makan dan minum. 

Martabat ketiga: adalah menghindarkan diri dari segala hal yang melupakan dan membuat hati lalai dari mengingati Allah. Ini adalah martabat tertinggi puasa.

Sebagai tanda seorang muslim yang hebat dan cemerlang, martabat puasa yang ketiga hendaklah menjadi matlamat dan cita-cita kita. Tetapi apa yang berlaku dan kita temui hari ini, ada juga golongan yang berpuasa semata-mata untuk menutup malu, di mana berpuasa dihadapan orang ramai, apabila bersendirian mereka berbuka.

Selain itu, ada juga yang berpuasa, mereka hanya menjaga perkara-perkara yang membatalkan puasa sahaja, tetapi mereka tidak menjaga pahala puasa. Oleh itu, tidak hairanlah kalau mereka melakukan maksiat seperti mengumpat, menghina orang lain, fitnah dan sebagainya. Tidak kurang juga mereka yang berpuasa tetapi tidak segan silu keluar berdua-duaan, sms dan berjam-jam menelefon dengan pasangan bukan mahram. Semua perkara yang disenaraikan di sini dapat kita saksikan di sekeliling kita.

Oleh yang demikian, marilah kita sama-sama bermuhasabah kembali, ibadah puasa yang bagaimana kita impikan. Adakah puasa sekadar untuk menahan diri daripada tidak makan dan minum? Atau puasa yang berusaha menghindari dosa? Ataupun puasa yang dapat menghindarkan diri dari segala hal yang melupakan dan membuat hati lalai dari mengingati Allah? Apapun jawapan kita, sama-sama kita berusaha untuk melakukan yang terbaik buat ramadhan kali ini, serta mudah-mudahan segala amalan kita diterima di sisi Allah azzawajalla, insyaAllah..

Comments :

0 Komen to “.:: Martabat Puasa ::.”